Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Sebanyak $3,000 daripada Peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin diagihkan kepada mangsa kebakaran di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lambak Kanan pada majlis yang diadakan di Bilik Seroja, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.
Penyampaian wang agihan zakat berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, KHEU, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.
Sumbangan berkenaan merupakan usaha untuk meringankan bebanan mangsa kebakaran rumah pada 3 Julai lalu yang melibatkan sebuah rumah di RPN Kampung Lambak Kanan dengan 15 orang penghuni.
Hadir menerima wang agihan zakat berkenaan ialah Pengiran Haji Mustapa bin Pengiran Haji Ahmad selaku pemilik rumah dan ketua keluarga yang menerima sebanyak $200 dan Awangku Mohd Karuliswandi bin Pengiran Haji Mustapa selaku anak menerima sebanyak $200.

Manakala itu, kelamin kedua, Pengiran Haji Sumadi bin Pengiran Haji Mustapa dan isteri serta lima orang anak menerima sebanyak $1,400, kelamin ketiga, Pengiran Haji Asnadi bin Pengiran Haji Mustapa dan isteri serta empat orang anak menerima sebanyak $1,200.
Adalah diharapkan dengan adanya agihan zakat ini akan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa dan dengan harapan semoga mereka lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan ahli keluarga daripada ditimpa musibah sebegini.