Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Sebagai salah satu khidmat bakti kepada masyarakat, ahli Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Gadong telah menghulurkan sumbangan hasil kutipan derma kilat kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Birau, Tutong yang berlaku pada 22 Februari lalu.
Rumah berkenaan dimiliki oleh Hajah Ramlah binti Sidek dan didiami oleh 11 orang.
Majlis penyampaian sumbangan berupa pakaian, barang keperluan asas dan makanan telah diadakan di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Gadong, hari ini.
Sumbangan berkenaan termasuk wang tunai berjumlah $1,545 telah diterima oleh anak pemilik rumah, Awang Abdul Rahim bin Haji Ibrahim selaku wakil penerima.
Juga hadir pada majlis tersebut ialah Penasihat Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Mata-Mata Gadong, Haji Metali bin Haji Kamis serta Imam Masjid Kampung Birau, Haji Julaidi bin Haji Baha.

