Mangsa kebakaran terima sumbangan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Prihatin dengan musibah kebakaran yang menimpa sebuah keluarga di Kampung Sungai Besar, mantan ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara Panchor Mengkubau telah menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan, kelmarin.

Mantan ahli-ahli jawatankuasa MPK berkenaan telah membuat inisiatif mengumpulkan barangan dan makanan asasi untuk disedekahkan kepada mangsa yang mana rumah mereka ranap dijilat api dalam kejadian kebakaran pada 15 Ogos lalu.

Mantan Timbalan Pengerusi MPK RPN Panchor Mengkubau, Haji Hairul Azri bin Haji Selamat berkata, “Atas rasa prihatin dan pemedulian, kami telah bersepakat untuk menghulurkan sumbangan seikhlas hati bagi meringankan beban ahli keluarga mangsa yang kini ditempatkan sementara di rumah No 27, Simpang 192, Jalan Tanjong Selasih RPN Panchor Mengkubau”.

Walaupun MPK RPN Panchor Mengkubau telah dibubarkan, namun mantan ahli jawatankuasa MPK berkenaan masih bergiat aktif dalam kerja-kerja amal dan kemasyarakatan untuk memajukan kampung.

Mantan AJK MPK (RPN) Panchor Mengkubau mengambil inisiatif dengan memberi sumbangan kepada mangsa kejadian kebakaran rumah di Sungai Besar baru-baru ini.