Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Dalam usaha meringankan bebanan mangsa kebakaran rumah di Kampung Saba Tengah, Mukim Saba, baru-baru ini, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah menyerahkan wang agihan zakat berjumlah $2,000.
Penyerahan agihan wang zakat berkenaan telah diadakan di kawasan kediaman sementara mangsa di Kampung Lupak Luas dan hadir menyampaikannya ialah Pemangku Setiausaha MUIB, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.
Di majlis itu, Dayang Norhajijah binti Haji Jais (pemilik rumah) dan suami serta seorang anak menerima $600 dan peralatan sekolah. Pemilik rumah kedua, Hajah Intan binti Haji Gampal dan seorang anak menerima sebanyak $400. Manakala itu, Haji Mantarais bin Haji Jais (ketua keluarga) dan isteri serta tiga orang anak pula menerima sebanyak $1,000 dan peralatan sekolah.

Musibah kebakaran yang berlaku pada 4 Ogos lalu, kira-kira jam 9 malam itu telah melibatkan dua buah rumah dengan 10 orang penghuni (setiap penghuni menerima $200). Kesemua wang tunai berkenaan diambil daripada peruntukan kumpulan wang zakat Asnaf Fakir Miskin.
Agihan zakat berkenaan diharap akan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa dan dengan harapan semoga mereka lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan ahli keluarga daripada ditimpa musibah sebegini.