Mangsa kebakaran terus dipeduli

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Mangsa bencana kebakaran rumah di Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Daerah Brunei dan Muara pada 27 April lalu terus diberi perhatian apabila menerima sumbangan kewangan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Penyampaian sumbangan berjumlah $2,500 itu telah diadakan kelmarin di Bilik Kunjungan KKBS di mana sumbangan diserahkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin kepada ketua keluarga berkenaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan di KKBS, JAPEM dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Pemberian bantuan kewangan berkenaan diharap sedikit sebanyak membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian.

Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sumbangan kepada ketua keluarga yang menjadi mangsa kebakaran.