Mangsa kebakaran tidak dilupakan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Nasib mangsa kejadian kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama terus mendapat perhatian dan bantuan daripada masyarakat untuk sama-sama meringankan beban para mangsa apabila Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan menyerahkan sumbangan kepada Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama.

Majlis penyerahan derma berjumlah $10,019 berkenaan telah diadakan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku penasihat bersama Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama.

Manakala tu, sumbangan telah disampaikan oleh Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan, Malcolm Lim Tiong Han.

Turut hadir menyaksikan penyerahan derma ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut dan pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara.

Malcom ketika ditemu bual oleh Media Permata menyatakan bahawa menerusi kerjasama dan sokongan daripada Daerah Brunei dan Muara, Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan telah mengadakan kegiatan kutipan amal bagi mangsa kebakaran bermula dari 8 Februari hingga 29 Februari lalu di mana sebanyak 30 buah peti sumbangan diletakkan di pelbagai pasar raya dan premis makanan di Daerah Brunei dan Muara.

Beliau menambah bahawa walaupun negara pada masa ini berhadapan dengan wabak COVID-19, namun begitu nasib para mangsa yang ditimpa musibah kebakaran di Kampung Pengiran Bendahara Lama tidak dilupakan di mana menerusi usaha itu, mereka berjaya mengutip sumbangan sebanyak $10,019.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada orang ramai atas sumbangan yang dihulurkan dan sokongan mereka kepada usaha kebajikan berkenaan.

Sumbangan itu diharapkan akan dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga-keluarga yang ditimba musibah kebakaran.

Malcolm Lim (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (tengah) pada majlis yang berlangsung di KHEDN, kelmarin.