Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa kemalangan lalu lintas dikenang

    Gambar serahan Kem. Pengangkutan dan Infokomunikasi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKJJR) kelmarin mengadakan Majlis Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia (WDR 2020) yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi secara maya dalam normal baharu bagi mengekang penularan COVID-19.

    WDR yang diraikan setiap Ahad minggu ketiga bulan November setiap tahun bertujuan memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat kemalangan jalan raya.

    Pada majlis itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador At-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya berkenan mengurniakan sabda melalui tayangan video.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi yang juga Pengerusi MKKJR, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dalam ucapan antara lain menyentuh mengenai empat perkembangan utama MKKJR.

    Perkembangan termasuklah aplikasi mudah alih TransportBN ataupun TransportBN Mobile Apps yang semenjak diperkenalkan pada bulan September 2019 tahun lepas menunjukkan statistik, sejumlah 41,600 pendaftaran bagi aplikasi tersebut telah dimuat turun, memberikan gambaran perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan darat dalam talian semakin meningkat. Walaubagaimanapun, perkhidmatan secara biasa melalui kaunter masih turut ditawarkan bagi keselesaan dan kemudahan penduduk.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib menyampaikan sijil lantikan kepada Ketua Road Safety Champion dalam majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa berucap pada majlis itu.

    Yang Berhormat Dato turut menyentuh kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Pengangkutan iaitu CfTR, yang berpusat di Universiti Teknologi Brunei (UTB) berjaya membina sebuah sistem pangkalan data bernama RADED atau Road Accident Data Development and Enhancement yang berfungsi untuk mengumpul butir-butir kemalangan yang terjadi di Negara Brunei Darussalam.

    Pihak-pihak yang berkepentingan boleh mendapat akses kepada sistem RADED ini secara masa sebenar.

    Manakala mengenai isu kenderaan terbakar, beliau memberikan statistik bahawa sehingga 19 November, 78 kes yang melibatkan sebanyak 83 buah kenderaan; berbanding dengan 80 kes yang melibatkan 84 kenderaan pada November 2019. Yang Berhormat Dato turut menyarankan supaya bekerjasama untuk menangani dan mengurangkan kes-kes itu.

    Majlis turut menyaksikan video perutusan daripada Setiausaha Eksekutif, United Nations Economic and Social Commision for Asia and the Pacific (UNESCAP), Armida Salsiah Alisjahbana, menyaksikan video keselamatan jalan raya dari ASEAN, pemenang-pemenang pertandingan video serta video dari Brunei Automobile Traders Association (BATA). Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil lantikan kepada ketua Road Safety Champions yang akan membantu memberigakan dan membudayakan aspek keselamatan jalan raya dari semua sektor termasuk sektor awam, sektor swasta dan sektor bukan kerajaan (NGO).

    Antara pengisian Sambutan WDR 2020 pada tahun ini termasuk khutbah Jumaat khusus mengenai WDR, Road Safety Awareness Talk kepada Road Safety Champions, membaca Surah Yasin dan tahlil senegara serta lain-lain aktiviti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda