Mangsa ‘lebihan visa’

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Para pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam mendapati para pekerja dari negara mereka dibenarkan bekerja tanpa perlu mendapatkan visa yang disahkan oleh bahagian buruh suruhanjaya tinggi di Bangladesh.

Akibat sindiket ‘lebihan visa kerja’ berkenaan, ramai warga Bangladesh tidak bekerja atau mempunyai pekerjaan sehingga 10 bulan selepas membayar $7,000 hingga $8,000 dolar kepada broker yang tidak bertanggungjawab.

Lebih malang lagi para pekerja berkenaan sanggup menjual tanah dan rumah di negara sendiri selepas dijanjikan gaji dan pekerjaan yang baik di sini.

Sekitar 15,000 visa kerja pekerja Bangladesh yang ‘sudah diproses’, hanya 4,552 sahaja yang telah disahkan oleh bahagian buruh suruhanjaya tinggi dalam apa yang digambarkan sebagai ‘lebihan visa’, menurut para pegawai di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.

Beberapa broker didapati bergiat aktif di negara ini dan Bangladesh berhubung pengambilan para pekerja dari negara selatan Asia itu.

Para pegawai juga mengatakan bahawa broker-broker berkenaan menghantar pekerja tanpa mengambil sebarang pelepasan daripada biro tenaga kerja, pekerjaan dan latihan.

“Pekerja Bangladesh telah menyumbang kepada pembangunan di negara ini sama ada dalam projek mega atau kecil. Mereka taat dan rajin,” kata seorang pegawai di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.

“Akibat penipuan ini, para pegawai bimbang bahawa Brunei akan menjadi tempat pemerdagangan manusia dan mungkin akan diperdagangkan ke negara jiran,” tambah beliau.

Dalam satu kes, gaji tertunggak telah mencecah $600,000 selepas majikan tidak membayar pekerja berkenaan selama enam bulan selepas dijanjikan menerima bayaran sekitar $350 setiap sebulan. Suruhanjaya Tinggi Bangladesh sedang menyiasat sindiket ini bersama pihak berkuasa serta menyiasat broker yang masih bergiat aktif di negara ini.

Para pegawai di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh menyeru agar sistem pengambilan pekerja yang teratur perlu dilaksanakan seperti memorandum persefahaman (MoU) agar agensi pekerjaan menemuduga pekerja di Bangladesh terlebih dahulu seperti Korea, Jepun dan Hong Kong sebelum mereka dibenarkan bekerja di negara ini.

Dengan projek-projek mega sedang dalam perancangan se-perti pembinaan fasa kedua projek Hengyi di Pulau Muara Besar, lebih ramai pekerja diperlukan dalam kerja-kerja pembinaan, kata pegawai suruhanjaya tinggi berkenaan.

Akhbar Bangladesh pada 3 Ogos melaporkan bahawa Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Dhaka diberitahu bahawa permohonan visa pekerjaan untuk pekerja Bangladesh diberhentikan buat sementara sejak 4 Ogos.