Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Mangsa musibah kebakaran, rumah roboh dibantu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Sumbangan berjumlah $29,900 telah diserahkan kepada enam buah keluarga yang merupakan mangsa musibah kebakaran dan rumah roboh pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

    Majlis turut menyaksikan penyerahan bantuan membaik pulih rumah berjumlah $47,000 kepada dua buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.

    Hadir menyerahkan sumbangan berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Para penerima bantuan berkenaan ialah Dayang Timbang @ Siti Nurul ‘Asyiqin binti Haji Timbul dari Kam-pung Maraburong, Kupang, Tutong dan Haji Saban bin Haji Omar dari Perpindahan Bukit Beruang, Tutong, kedua-duanya mangsa kebakaran.

    Empat lagi adalah mangsa musibah rumah roboh di Kampong Ayer iaitu Dayang Kartika binti Suhaimi dari Kampung Bakut Berumput; Pengiran Norsiti Elvy Sunarti binti Pengiran Haji Terapin dari Kampung Lurong Dalam; Hajah Amit binti Abbas dari Kampung Burong Pinggai Ayer; dan Dayang Rasiah binti Salim dari Kampung Lurong Sikuna.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan bantuan membaik pulih rumah kepada salah seorang penerima.
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan sumbangan kewangan kepada mangsa-mangsa musibah.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan bantuan membaik pulih rumah kepada penerima.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan sumbangan kewangan kepada salah seorang mangsa musibah.

    Sementara itu, penerima bantuan membaik pulih rumah ialah Hajah Pasar @ Pasah binti Amit dari Kampung Junjongan dan Hajah Amit binti Ibrahim dari Kampung Bakut Pengiran Siraja Muda B.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

    Penubuhan Yayasan adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

    Yayasan dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan
    yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah seperti
    kebakaran rumah dan rumah roboh.

    Bantuan berkenaan dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...