KOTA KINABALU, 30 SEPT – Lima kanak-kanak dan remaja perempuan yang rentung dalam kebakaran tiga rumah di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas hari ini adalah adik-beradik daripada dua keluarga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas Agustavia Joe Guasi berkata mangsa dikenal pasti sebagai Raisa Adrian, 4, bersama dua adiknya iaitu Raidah, 3, dan Raina, 1, manakala satu lagi keluarga terdiri Amidah Wahid, 14, dan adiknya Siti Faridah, 3.
“Semua mayat mangsa ditemukan dalam rumah yang sama iaitu di rumah tiga beradik tersebut dan mangsa dua beradik adalah jiran mereka yang tinggal berhampiran,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata ibu kepada tiga beradik itu yang sarat mengandung selamat dalam kejadian tersebut dan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada 12:54 tengah hari.
Kejadian itu melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus serta sebuah kedai runcit, stor dan dua kenderaan, sebelum kebakaran berjaya dikawal pada 1:29 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata polis bersama agensi terbabit sedang menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut dan setakat ini disiasat di bawah kes mati mengejut.
“Kita sedang siasat dan berkerjasama dengan pihak bomba serta agensi yang lain,” katanya. – Bernama