Mangsa NCOV cecah lebih 100

BEIJING, 28 JAN – Presiden China, Xi Jinping hari ini berkata negara itu sedang berdepan dengan situasi yang mencemaskan selepas bergelut untuk menangani penularan koronavirus yang kini meningkat kepada 106 orang setakat ini, manakala 1,300 kes baharu disahkan, kata pihak berkuasa.

“Epidemik ini sangat berbahaya dan kita tidak boleh membiarkannya daripada terus menular,” tambah Xi semasa mesyuarat bersama ketua Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), menurut media negara China.

Suruhanjaya Kesihatan di Wilayah Hubei, pusat epidemik, berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 lagi kematian dicatatkan akibat virus berkenaan dan 1,291 orang dijangkiti, peningkatan kepada lebih 4,000 kes yang disahkan di seluruh negara.

Virus yang membunuh itu dipercayai berpunca dari pasar haiwan liar di bandar Wuhan dan dikesan sejak bulan lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan selepas virus itu menular ke seluruh negara itu serta di lebih 12 negara lain.

Kerajaan menutup Wuhan dan bandar lain di wilayah tengah Hubei, menjejaskan 50 juta rakyatnya termasuk ribuan warga asing dalam usaha mengekang penyebaran virus ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Seorang pekerja yang menggunakan pakaian keselamatan ketika bercakap bersama seorang wanita yang disyaki dijangkiti koronavirus di pusat kesihatan di Wuhan. – AP

Mereka yang terperangkap di Wuhan semakin cemas ketika pegawai kedutaan asing bergegas untuk membawa keluar warga mereka dengan selamat daripada bandar yang menempatkan 11 juta penduduk.

AS, Perancis dan Jepun antara negara yang mengumumkan rancangan untuk membawa keluar rakyat masing-masing, namun walaupun arahan berkurung dibuat hampir seminggu lalu, proses pemindahan belum dilakukan.

Pesawat sewa khas AS dijadual meninggalkan Wuhan hari ini membawa bersama kakitangan kedutaan dan sebahagian rakyat negara itu.

Bagaimanapun Jabatan Negara AS mengatakan rancangan itu ditunda kepada Rabu tanpa menyatakan alasan.

Perancis turut menyatakan mereka berhasrat membawa keluar rakyatnya dari bandar itu pertengahan minggu ini, langkah sama diambil Jepun.

Jepun menghantar pesawat sewa khas ke Wuhan, China malam ini bagi menyelamatkan rakyat negara itu yang terperangkap di lokasi punca penyebaran wabak koronavirus itu.

AFP melaporkan, Menteri Luar Negeri, Toshimitsu Motegi berkata, mereka sudah membuat persiapan akhir dan mendapat lampu hijau untuk memasuki China.

“China sudah berkomunikasi dengan kita dan bersedia membenarkan kemasukan satu penerbangan sewa khas.

“Persiapan sudah dibuat untuk memastikan keselamatan pesawat ke lapangan terbang,” katanya hari ini.

Beberapa negara lain juga berusaha untuk membawa pulang rakyat mereka, manakala Jerman berkata ia sedang mempertimbangkan untuk berbuat demikian.

Virus ini boleh dipindahkan antara manusia, walaupun saintis masih belum menentukan kaedah penularan dan penyebaran virus berkenaan.

Dalam usaha menghentikan sejumlah besar orang yang saling berhubungan, China mengenakan sekatan pengangkutan yang ketat di bahagian lain di negara ini. – AFP