Mangsa pemeriksaan ‘keterlaluan’ mahu saman Qatar

SYDNEY, 15 NOV – Sekumpulan wanita yang melalui pemeriksaan ginekologi keterlaluan di lapangan terbang Doha akan memfailkan saman terhadap pihak berkuasa Qatar, menuntut ganti rugi atas pengalaman yang mencetuskan kecaman global, peguam mereka memberitahu AFP.

Wanita dalam penerbangan Qatar Airways dari Doha, termasuk 13 warga Australia menjalani pemeriksaan berkenaan akhir tahun lalu ketika pihak berkuasa mengesan ibu kepada anak damit yang baru dilahirkan dan ditinggalkan di dalam bilik air lapangan terbang itu.

Insiden itu mencetuskan kemarahan dan kebimbangan mengenai layanan Qatar terhadap wanita ketika negara Teluk itu bersiap sedia menerima ribuan pelawat asing bagi Piala Dunia 2022.

Damian Sturzaker, dari firma Marque Lawyers yang berpangkalan di Sydney, berkata tujuh penumpang terbabit kini merancang mengambil tindakan undang-undang untuk memberi mesej kepada pihak berkuasa Qatar supaya tidak melayan wanita demikian.

“Mereka mengalami pengalaman yang memeritkan dalam kejadian itu dan selepas lebih setahun berlalu, mereka terus mengalami kesan buruk serta trauma akibat apa yang berlaku,” katanya kepada AFP.

Sturzaker berkata kumpulan wanita berkenaan menuntut permohonan maaf secara rasmi, pampasan dan jaminan perlindungan ke atas penumpang yang transit di lapangan terbang. – AFP