Thursday, September 19, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa rumah roboh diuji dua kali hilang rumah

    SEMPORNA, 2 OGOS – Sebahagian besar keluarga yang terjejas selepas rumah atas air mereka roboh di Kampung Simunul Lorong 3 semalam, juga merupakan mangsa kebakaran pada 2015 di kampung itu.

    Suri rumah Nuramna Sulaiman, 38, berkata sebahagian rumah roboh itu adalah rumah transit atas air yang menempatkan mangsa kebakaran tersebut, sementara menunggu panggilan penempatan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria di sini.

    “Sementara menunggu panggilan penempatan berfasa, kami tinggal di rumah transit ini selepas rumah kami di Kampung Simunul terbakar pada tahun 2015 dan semalam kami sekali lagi diduga ujian kehilangan rumah selepas sembilan tahun berlaku kejadian kebakaran.

    “Saya harap kerajaan dapat memberikan bantuan sewajarnya dan segera, termasuk proses penempatan rumah di PPR itu dapat dipercepatkan kerana kami kehilangan tempat tinggal,” katanya kepada Bernama.

    Nuramna berkata ketika kejadian dia serta anak berada di pekan Semporna namun mendapat panggilan berlaku kejadian rumah roboh namun tidak menyangka rumah didiami ranap ke laut.

    Seorang lagi suri rumah, Salmiah Mustafa, 45, yang juga mangsa insiden kebakaran 15 tahun lepas, semalam sekali lagi kehilangan tempat tinggal bersama 11 ahli keluarganya.

    Salmiah berkata ketika kejadian dia sedang mencuci pinggan di dapur dan sempat merasakan seperti rumah bergegar dan ada bunyi seperti angin, sebelum mengarahkan semua ahli keluarga termasuk ibunya keluar dari rumah.

    Seramai 196 mangsa membabitkan 30 keluarga yang terjejas akibat 30 rumah roboh di Kampung Simunul Lorong 3 semalam ditempatkan di PPS PPR Bubul Ria. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda