Mangsa rumah roboh terima bantuan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Sebuah keluarga yang terlibat dalam bencana rumah roboh pada 9 November lalu di Kampung Katimahar, Jalan Lugu, Tutong telah menerima bantuan kewangan kerajaan pada majlis yang diadakan di Bilik Kunjungan, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Penyampaian sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin kepada Dayang Siti Asmah binti Abdul Kadir serta keluarga.

Hadir menyaksikan majlis penyerahan tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir serta pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan JAPEM.

Selain menerima bantuan kewangan, mangsa bencana turut menerima sumbangan catuan makanan dan tenaga daripada Projek Team Memeduli Warga Emas yang membantu memindahkan barang-barang mangsa ke rumah keluarga semasa hari kejadian berlaku.
Dengan adanya bantuan-bantuan tersebut, sedikit sebanyak ia diharap akan dapat membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa dan keluarga dalam meneruskan kehidupan seharian.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyerahkan sumbangan kepada mangsa bencana rumah roboh. – Gambar oleh KKBS.