Sunday, November 3, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa serangan seksual bunuh diri akibat gangguan dalam talian

    TOKYO, 14 NOV – Seorang lelaki yang mengatakan dia didera secara seksual oleh pengasas agensi kumpulan lelaki terkemuka Jepun telah meninggal dunia selepas menerima gangguan dalam talian, lapor media tempatan hari ini.

    Lelaki berusia 40an itu, yang mengakui dirinya sebagai sebahagian daripada kumpulan mangsa yang didakwa, ditemui mati dalam insiden yang dikatakan sebagai bunuh diri bulan lalu di wilayah Osaka barat, menurut sumber polis yang dilaporkan oleh penyiar awam NHK. Identiti lelaki itu tidak dinyatakan.

    Yomiuri Daily melaporkan lelaki itu menerima komen-komen yang merendahkan di media sosial, seperti ‘Penipuan awda akan terbongkar’ dan ‘Awda mahu wang’, selepas dia mendedahkan tuduhan serangan seksual oleh Johnny Kitagawa, pengasas empayar kumpulan lelaki Johnny & Associates.

    Agensi itu mengakui pada September bahawa Kitagawa, yang meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 2019, telah melakukan serangan seksual terhadap remaja lelaki dan lelaki dewasa selama beberapa dekad.

    Sebelum kematian lelaki tersebut, tiga anggota kumpulan mangsa yang didakwa telah membuat laporan kepada polis mengenai gangguan dalam talian selepas mereka memberitahu media mengenai dakwaan serangan seksual. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda