Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Anggota bomba dan penyelamat berjaya mencari dan menyelamat tiga orang mangsa yang telah sesat di Taman Rekreasi Hutan Bukit Shahbandar, Jerudong, pada hari pertama tahun baharu 2022, baru-baru ini.
Empat orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jerudong diketuai oleh Pmk ASO Shambra bin Haji Mohd Som dan lima anggota Unit Skuad Khas diketuai oleh ABK 670 Amir Hassan bin Haji Bidin telah dikejarkan ke Bukit Shahbandar pada jam 2:32 petang, 1 Januari, bagi mencari dan menyelamat orang yang tersesat itu.
Apabila sampai di tempat kejadian, siasatan dijalankan di sekitar kawasan hutan tersebut dan usaha mencari dilancarkan pada jam 3:02 petang. Anggota bomba bergerak ke Taman Agro mengikut maklumat yang telah diberikan oleh mangsa.
Pada jam 4:15 petang, tiga orang mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam kenyataan akhbar, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa membawa jurupandu yang berpengalaman untuk masuk ke kawasan hutan dan pastikan tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mulai gelap.
“Jangan mendaki bukit secara berseorangan ditakuti perkara yang tidak diingini berlaku dan maklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan tempat yang awda hendak tuju,” tekan JBP.
Untuk keselamatan orang ramai semasa mendaki, JBP menyarankan agar orang ramai membawa bersama wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.