Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Mangsa Taufan Freddy dibantu

    BLANTYRE, MALAWI, 15 MAC – Usaha penyelamatan masih giat dijalankan untuk mencari mangsa yang selamat di bandar Blantyre yang teruk terjejas akibat taufan Freddy yang melanda Afrika Selatan untuk kali kedua sekali gus mengakibatkan banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan lebih 200 orang terkorban.

    Keadaan cuaca dijangka akan bertambah baik apabila ribut melintasi kawasan darat selepas beberapa hari hujan lebat, tetapi paras air yang tinggi di kawasan-kawasan tertentu menghalang usaha kecemasan.

    “Pasukan penyelamat menemui orang di pokok, di atas bumbung atau di kawasan tinggi,” kata jurucakap Palang Merah Malawi, Felix Washoni, kepada AFP.

    Freddy kembali ke Afrika Tenggara pada hujung minggu kedua kalinya dalam masa kurang daripada tiga minggu, meninggalkan kesan maut dan kehancuran.

    Kerajaan Malawi mengumumkan sekurang-kurangnya 190 orang terkorban dengan 584 cedera dan 37 orang hilang, sementara pihak berkuasa di Mozambique yang berdekatan melaporkan 21 kematian dan 24 cedera.

    Sekumpulan lelaki menyelamatkan bahagian rumah yang musnah, berikutan hujan lebat akibat taufan Freddy di Blantyre, selatan Malawi. – AP
    Seorang lelaki membantu lelaki yang cedera menyeberang titian di Blantyre, selatan Malawi. – AP

    Pasukan penyelamat memberi jangkaan lebih ramai mangsa korban ketika mereka mencari orang yang selamat di kawasan-kawasan yang hancur walaupun harapan mulai pudar.

    “Empat orang dari keluarga saya masih hilang kerana mereka terkubur dalam lumpur,” kata Alabu Wiseman, 24, dari sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan sementara di Malawi.

    Kerajaan mengatakan tentera dan polis memimpin operasi mencari dan menyelamat, yang kata Palang Merah akan berterusan selama dua hari lagi.

    Ramai terkorban dalam tanah runtuh yang membanjiri rumah di bandar selatan Blantyre, ibu pejabat perdagangan negara.

    Di seluruh Malawi, hampir 59,000 orang terjejas dan lebih 19,000 dipindahkan, dengan banyak yang sekarang menumpang di sekolah dan gereja. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...