Mangsa virus meningkat terus membimbangkan

BEIJING, 24 JAN – China mengesahkan kematian kedua yang berlaku di luar pusat kawasan wabak virus yang kini dikenali sebagai 2019-nCoV dan menjangkiti ratusan mangsa, sekali gus menjadikan mangsa yang maut setakat ini kepada 26 orang.

Wakil pegawai menyatakan bahawa 24 kematian berlaku di pusat bandar Wuhan iaitu Hubei, kawasan yang dikenal pasti sebagai pusat wabak berkenaan.

Menurut kerajaan tempatan, kematian itu dicatatkan berlaku di wilayah Timur Laut Heilongjiang yang bersempadan dengan Rusia, iaitu kira-kira 2,000 kilometer dari Wuhan.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional berkata, pihak berkuasa turut melakukan pemeriksaan terhadap 1,072 kes disyaki berpunca daripada virus yang pertama kali dikesan di tengah bandar Wuhan.

Peningkatan jumlah yang ketara itu dikeluarkan dalam tempoh beberapa jam selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan situasi itu belum menjadi kecemasan kesihatan global.

Wabak koronavirus semakin membimbangkan di mana kakitangan perubatan dilihat sedang mengusung seorang pesakit yang dijangkiti wabak berkenaan ke sebuah hospital di tengah China. – AFP

Selepas dua hari perbincangan untuk memuktamadkan tahap kebimbangan global, WHO belum mengisytiharkan ia sebagai kecemasan kesihatan awam di peringkat kebimbangan antarabangsa iaitu perisytiharan yang digunakan untuk epidemik paling berat.

China mengenakan perintah kuarantin terhadap hampir 41 juta penduduknya di Wuhan dan 13 buah bandar berdekatan sebagai tindakan susulan terhadap virus itu.

Jutaan penduduk ‘terkurung’ di Hubei berikutan penutupan operasi pengangkutan awam di lapan buah bandar di seluruh wilayah itu. Wuhan juga berada dalam ‘pengasingan’.

China menutup beberapa jambatan, menghentikan pengangkutan awam dan menutup sebuah lapangan terbang utama dalam usaha menyekat pergerakan kira-kira 26 juta orang yang berada di sekitar lokasi yang tercetusnya wabak koronavirus.

Huangsi yang mempunyai kepadatan penduduk 2.4 juta orang menjadi bandar terbaharu di wilayah Hubei menutup laluan pengangkutan hari ini sebagaimana ia menutup terminal feri dan jambatan di Sungai Yangtze, dan menggantung pengangkutan awam.

Langkah itu menyaksikan penggantungan perkhidmatan bas penumpang jarak jauh dan pengangkutan awam dari malam tadi di Qianjiang, sebuah bandar di Hubei tengah dengan penduduk hampir satu juta orang.

Pihak berkuasa berkata langkah itu adalah untuk mencegah dan mengawal penyebaran koronavirus baharu, yang sejak itu sudah menjangkiti lebih 800 orang.

Di Tokyo Kementerian Kesihatan Jepun mengesahkan kes kedua koronavirus membabitkan seorang lelaki dari bandar Wuhan, China.

Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata lelaki berusia 40an itu adalah penduduk dari bandar di mana bermulanya wabak berkenaan dan tiba di Jepun pada 19 Januari lalu.

Lelaki itu dilaporkan mengalami gejala demam selama beberapa hari sebelum tiba di negara ini dan keadaannya stabil ketika dia tiba di Jepun.

Pada 22 Januari lalu, lelaki itu dilaporkan demam dan kini menerima rawatan di hospital Tokyo.

Kenyataan itu turut menjelaskan lelaki itu menafikan mengunjungi pasar di Wuhan yang dikenal pasti sebagai lokasi bermulanya wabak berkenaan. – AFP