Manifestasi rasa patriotisme rakyat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam merupakan manifestasi rasa kebanggaan dan patriotisme setiap rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kepada raja kita yang berdaulat dan negara kita yang merdeka.

“Oleh itu, kita sebagai satu pasukan, hendaklah mengungkayahkan amanah ini dengan memberikan yang terbaik demi untuk menjayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan kerana ianya adalah milik bersama sekalian rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

“Bagi mencapai yang terbaik, persiapan-persiapan awal hendaklah dilaksanakan dengan teratur dan dipercepatkan,” jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, tahun 2020 yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli dan wakil ahli jawatankuasa tertinggi sambutan.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengumumkan bahawa tema ‘Menjayakan Wawasan Negara’ dikekalkan bagi sambutan ulang tahun ke-36 dengan mengambil kira bahawa tema itu masih relevan dan selaras dengan usaha-usaha yang dilaksanakan secara berterusan dalam meningkatkan kemajuan pembangunan negara ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035.

Beliau turut menyatakan bahawa Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, 2020 akan diadakan pada 23 Februari 2020 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dengan membawa konsep ‘Kemajuan, Ke hadapan dan Kegembiraan’ yang membawa maksud, 2035- Negara maju jaminan rakyat untuk masa hadapan, bersemangat patriotik, kegembiraan dan warna-warni.

Beliau menyatakan lagi bahawa Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam akan diadakan pada 16 Februari 2020 di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan dengan Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera akan diadakan di keempat-empat daerah.
Majlis kesyukuran, sembahyang fardu maghrib berjemaah, membaca Surah Yasin serta Doa Kesyukuran pula akan diadakan pada 22 Februari

2020 di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan dengan majlis serupa akan diadakan di beberapa masjid di seluruh negara di peringkat daerah.

Agenda mesyuarat termasuk membincangkan mengenai logo, acara-acara sambutan dan acara-acara sampingan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan kata alu-aluannya pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, kelmarin. Turut hadir ialah YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.