Manny Pacquiao tetap fokus

LOS ANGELES, 10 Jan – Manny Pacquiao semalam menepis laporan yang mengaitkannya untuk bertanding bagi jawatan presiden Filipina, menegaskan bahawa dia tetap fokus pada penghujung kerjaya ini.

Petinju berusia 40 tahun itu, yang merupakan anggota Senat Filipina, berulang kali dikaitkan untuk jawatan presiden bagi masa hadapan di negaranya di mana dia disanjung tinggi sebagai wira negara.

Bagaimanapun, Pacquiao berkata kepada para wartawan semalam bahawa dia menangguhkan kerjaya politiknya ketika dia bersiap sedia untuk mempertahankan gelaran kelas welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBO) menentang Adrien Broner pada 19 Januari ini di Las Vegas.

“Ramai orang mengatakan bahawa saya boleh menjadi presiden seterusnya,” kata Pacquiao kepada AFP.

“Tetapi saya tidak memikirkannya. Saya tidak mempunyai rancangan pada masa ini. Apa sahaja jalan yang diberikan oleh tuhan untuk saya, saya akan melaksanakannya,” tegasnya.

Pacquiao menjalani latihan bersama Roach semasa Hari Media di Wild Card Boxing Club di Hollywood, California. – AFP

“Sebagai seorang penjawat awam, ia berbeza dengan sukan ini. Ia lebih kepada pemikiran dan banyak masalah, memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah dalam negara, dan juga untuk memberikan penyelesaian kepada masalah tersebut.”

Pacquiao berlatih semula dengan jurulatih lamanya, Freddie Roach untuk pertarungan dengan Broner di MGM Grand Garden Arena, setelah dua tahun tidak bekerjasama.

Roach, yang telah bekerja dengan Pacquiao selama 15 tahun sehingga tahun 2017, berkata dia yakin petinju dari Filipina itu akan bertanding jawatan presiden di masa hadapan.

“Saya tidak bercakap kepadanya untuk bertanding bagi jawatan presiden tetapi dia mahu membantu rakyat dan tahu cara terbaik untuk membantu rakyat sebagai seorang pemimpin,” kata Roach kepada wartawan.

“Dia mungkin mahu menjadi presiden pertama untuk memenangi kejohanan dunia,” katanya. Pacquiao, yang memegang rekod 60-7 dengan dua seri dan 39 pukulan knockout dalam kerjaya yang bermula pada tahun 1995, telah bertemu dengan Floyd Mayweather ketika menyaksikan perlawanan NBA di Staples Center, Selasa lalu. – AFP