‘Mansuh kejohanan demi kebajikan pemain’

LONDON, 21 JAN – Pengendali Manchester City Pep Guardiola percaya beberapa kejohanan bola sepak Inggeris perlu dimansuhkan bagi menjaga kebajikan pemain-pemain serta meningkatkan kualiti perlawanan.

City berdepan Sheffield United dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam ini untuk perlawanan ke-17 dalam tempoh 59 hari sejak rehat antarabangsa pada November.

Kecederaan serius penyerang Tottenham Harry Kane dan Marcus Rashford dari Manchester United bakal memberi kesan kepada kempen England di Euro 2020 – situasi yang disifatkan Guardiola sebagai tidak mampan.

“Pemain-pemain hadir di Euro, mencuba yang terbaik untuk pasukan kebangsaan mereka dan kemudian pulang ke sini selepas rehat tidak sampai 20 hari kerana pertunjukan perlu diteruskan. Ia tidak mampan,” kata Guardiola.

“Saya bersimpati dengan Kane dan Rashford kerana mereka bagus untuk liga, tetapi kita menuntut terlalu banyak daripada pemain-pemain, ia sangat melampau.

“Mereka (Liga Perdana) perlu melihat perkara ini tetapi semua pengurus pasukan sudah merungut namun mereka tidak peduli.”

Badan induk bola sepak Inggeris diminta untuk sekurang-kurangnya memansuhkan perlawanan ulangan bagi pusingan ketiga dan keempat Piala FA serta format timbal balik separuh akhir Piala Liga.

City masih terbabit dalam dua kejohanan domestik, juga Liga Juara-Juara dan berbaki sekurang-kurangnya 19 perlawanan musim ini.

“Anda perlu mengurangkan pertandingan. Mansuhkan terus, jadi kurang perlawanan. Kurang perlawanan, kurang kejohanan, kurang pasukan, kurang kuantiti dan lebih kualiti,” katanya. – AFP

Reaksi pengurus Manchester City Pep Guardiola ketika perlawanan menentang Crystal Palace di Stadium Etihad pada 18 Januari. – AP