Mantan jeneral Bosnia ditahan

SARAJEVO, 5 Dis – Bekas jeneral yang berjuang bersama anggota tentera Islam Bosnia semasa konflik 1990 ditahan di Sarajevo hari ini bagi tuduhan jenayah perang ke atas orang awam Serbia, menurut pihak pendakwaan.

Ramiz Drekovic, 62, jeneral ketiga dari anggota tentera Islam Bosnia (Bosniak) berdepan tuduhan jenayah perang dalam tempoh tiga tahun kebelakangan oleh pihak berkuasa setempat.

Berasal dari Serbia, Drekovic merupakan seorang kapten Tentera Orang Awam Yugoslavia (JNA) sebelum Yugoslavia berpecah pada 1991 menerusi beberapa siri konflik yang menyebabkan 130,000 orang terkorban, sebahagian besarnya semasa perang Bosnia.

Beliau kemudiannya menjadi salah seorang jeneral tertinggi dalam tentera Bosnia.

Menurut pendakwa jenayah perang Bosnia, Drekovic mengarahkan membedil bandar Kalinovik di tenggara dalam beberapa kejadian pada 1995.

Semasa pengeboman itu, seorang remaja berusia 15 tahun terbunuh dan beberapa kanak-kanak dan orang dewasa cedera disusuli dengan kemusnahan harta benda,” menurut kenyataan pejabat pendakwaan.

Drekovic bersara sejurus selepas perang berakhir pada 1995 dan menjadi penasihat ahli politik Islam Bosnia.

Penahanannya itu dibuat tatkala Sarajevo membicarakan orang-orang Islam Bosnia atas peranan mereka semasa perang yang menyaksikan masyarakat Islam, Serbia dan Croatia bertelagah.

Dua jeneral Bosnia yang lain sedang menghadapi perbicaraan. – AFP