Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan mantan-mantan kakitangan yang telah bersara, Seksyen Binaan Radio Televisyen Brunei (RTB) telah mengadakan majlis ramah mesra di Mangrove Resort, semalam.
Turus hadir ialah mantan Scenic Master RTB, Haji Junaidi bin Haji Sulong dan mantan Pelukis Pemandangan RTB, Haji Dayang bin Haji Mutalib yang juga pelukis tanah air yang tak asing lagi serta mantan-mantan kakitangan binaan RTB yang telah bersara dan belum bersara.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Haji Mustafa bin PUK Haji Wahid dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran.
Majlis diteruskan dengan ucapan daripada pengerusi majlis, Haji Ahmad bin Ali dan Pengiran Haji Matali bin Pengiran Haji Mat Seruddin selaku timbalan pengerusi majlis.
Majlis turut dimeriahkan dengan pertukaran hadiah dalam kalangan mereka yang ikut serta pada majlis tersebut sebagai tanda persahabatan yang erat.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Haji Mustafa diikuti dengan sesi bersalaman dan bergambar ramai.
Majlis serupa sedang dibincangkan untuk diadakan pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.