KAHERAH, 8 Jan – Mantan Perdana Menteri Mesir Ahmed Shafiq memaklumkan semalam bahawa dia tidak akan bertanding presiden untuk pilihan raya nanti.
“Saya sedar bahawa saya bukan calon yang sesuai untuk menjalankan tugas hal ehwal kerajaan untuk tempoh mendatang. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi pilihan raya presiden 2018,” menurut Shafiq dalam kenyataan menerusi akaun Twitter.
Shafiq yang meninggalkan Mesir selepas kalah tipis kepada Presiden Mohamed Morsi pada pilihan raya 2012, memaklumkan ketika di Emiriah Arab Bersatu pada November bahawa dia berniat bertanding untuk presiden. Walau bagaimanapun, dia kembali ke Mesir awal Disember dan berkata dia mempertimbangkan semula keputusannya.
“Ketiadaan saya selama lebih lima tahun menghalang saya untuk mengetahui pembangunan dan pencapaian negara ini walaupun dibayangi dengan kondisi sukar akibat keganasan,” menurut Shafiq dalam kenyataannya. Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi belum memaklumkan secara rasminya untuk bertanding pilihan raya presiden 2018 tetapi dia dijangka akan bertanding dan memperolehi kemenangan selesa kerana ketiadaan pencabar yang kompetitif. – AFP