Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mantap keupayaan agensi keselamatan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Sebagai usahanya untuk meningkatkan persiapan operasi bersepadu setiap agensi-agensi keselamatan lain dalam menangani kejadian kecemasan melibatkan kemalangan di air, Cawangan Operasi ‘D’, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Eksesais Sekoci 2021, baru-baru ini.

    Eksesais yang dikendalikan bersama JBP, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS) dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) itu diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘D’, Pengarah Eksesais SSFR Muhd Shahreeni bin Haji Mohd Yussof.

    Latihan melibatkan operasi mencari dan menyelamat di permukaan dan dalam air yang bertujuan untuk menilai keberkesanan pelan tindakan kecemasan dan prosedur tetap operasi setiap agensi dalam menangani kecemasan yang melibatkan kemalangan di air.

    Senario latihan membabitkan satu insiden kemalangan beberapa buah perahu yang mengakibatkan mangsa terjatuh ke dalam air telah berlaku di kawasan perairan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS).

    Latihan seumpamanya menjadi satu tugas dan peranan bagi mengukuhkan keupayaan agensi-agensi dalam bertindak secara bersepadu menangani kejadian kecemasan dan pada masa yang sama untuk mengemaskinikan prosedur tetap operasi di antara agensi-agensi keselamatan.

    Latihan bersepadu melibatkan operasi mencari dan menyelamat di permukaan dan dalam air.
    Anggota JBP mendengar taklimat semasa latihan bersepadu tersebut.
    Anggota JBP mengusung ‘mangsa’ semasa latihan yang diadakan di kawasan perairan Jambatan RIPAHS.

    Selain itu, keberkesanan pelan tindakan kecemasan juga dinilai dengan mengambil kira interaksi pusat pengurusan kecemasan dengan agensi petindak dan incident commander post (ICP) dan menggunakan mekanisme pengurusan kecemasan berdasarkan pelan tindakan setiap agensi.

    Antara objektif latihan itu juga untuk menyelaras prosedur tindak balas serta keberkesanan interoperability antara agensi-agensi keselamatan di samping menilai keberkesanan perlaksanaan pelan tindakan kecemasan setiap agensi dan perintah serta kawalan dalam melaksanakan operasi bersama.

    Selain mengenal pasti jurang keupayaan dan persiapan dalam meningkatkan keupayaan agensi-agensi keselamatan dalam menangani kecemasan yang melibatkan kemalangan di kawasan perairan negara.

    Turut hadir semasa latihan itu, Kumpulan Pengurusan Kanan JBP yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan yang diketuai oleh pemangku pengarah bomba dan penyelamat.

    JBP juga menyarankan kepada orang ramai supaya memastikan memakai jaket keselamatan dan dipakai dengan betul ketika berada dalam perahu.

    Jika mendapati ada orang lemas, segera meminta pertolongan, pastikan diri pandai berenang dan memakai jaket keselamatan sebelum bertindak menyelamatkannya dan jika berlaku sebarang insiden kecemasan segera hubungi Talian Kecemasan 995 dan berikan maklumat yang tepat.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda