Mantapkan inisiatif

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian sedang dalam proses mempertingkatkan inisiatif-inisiatifnya bagi tempoh lima tahun akan datang di samping menangani cabaran masa depan dalam tiga portfolionya iaitu tenaga, tenaga manusia dan industri.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien pada Majlis Muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat West Wing, Aras 1, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Muzakarah petang tadi itu memberikan penjelasan lanjut mengenai inisiatif-inisiatif dan perancangan kementerian berkenaan bagi menambah dimensi kepada kefahaman 17 ahli-ahli MMN yang diketuai oleh Penghulu Mukim Berakas Zon 1, Brunei dan Muara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon terhadap portfolio kementerian selain perkongsian buah fikiran ahli-ahli MMN.

Yang Berhormat Dato selaku pengerusi dialog itu, menyatakan pemulihan ekonomi diramalkan untuk tahun yang akan datang, penekanan terus ditumpu pada pengukuhan sektor minyak dan gas, sekali gus memacu pembangunan perindustrian.

Usaha-usaha itu dijangka akan menjana pekerjaan dan peluang menggaji anak tempatan, bagi menangani kadar pengangguran sebanyak 9.3 peratus menurut Kajian Tenaga Buruh 2017 yang diterbitkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bergambar ramai bersama ahli-ahli MMN, para pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam, DARe dan SHENA.
Ahli MMN semasa sesi muzakarah di Bilik Mesyuarat West Wing, Aras 1, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

“Perkembangan semua sektor amat diperlukan agar menyumbang kepada penjanaan peluang-peluang pekerjaan. Setiap tahun, kira-kira 6,500 orang pencari kerja baru akan memasuki pasaran buruh atau pun labour market. Oleh itu, penjanaan peluang-peluang pekerjaan dan juga kaedah pengisian jawatan-jawatan dengan pekerja-pekerja tempatan secara sistematik adalah menjadi tumpuan kementerian pada tahun ini,” ujar Yang Berhormat Dato.

Bagi menyokong rancangan penggantian (succession planning) bersistematik warga Brunei dalam industri minyak dan gas, Yang Berhormat Dato berkata, kementerian telah memperkenalkan Bruneianisation Directive bagi sektor minyak dan gas sejak Jun 2018.

Ianya bertujuan untuk memastikan pengendali-pengendali minyak dan gas menjalan-kan succession planning secara efektif untuk menyalurkan anak-anak tempatan sehingga ke jawatan tertinggi dalam sektor ini.

Ia adalah bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama daripada Permesyuaratan ke-14 MMN pada tahun 2018, agar anak-anak tempatan menduduki jawatan-jawatan sehingga jawatan pengarah urusan dan juga yang lebih tinggi.

“Bruneianisation Directive ini, InsyaAllah, akan diperluaskan lagi di sektor bukan minyak dan gas pada tahun ini. Anak-anak tempatan perlu dibimbing serta diberi dorongan dan peluang untuk menjadi pemimpin dan pemacu kemajuan ekonomi negara dalam semua sektor,” ujar Yang Berhormat Dato lagi.

Kementerian juga akan memberi tumpuan kepada pe-ngawalseliaan dan pengurusan khazanah hidrokarbon negara secara efektif dan teratur dan juga memaksimumkan nilai sektor tenaga; perkembangan sektor hiliran tenaga serta sektor perindustrian lain secara mapan supaya mengurangkan sebarang penjejasan kepada hasil negara disebabkan kemerosotan harga minyak yang mana penting bagi membukakan peluang-peluang pekerjaan baru dan menghasilkan limpah kesan ekonomik yang setentunya akan mendatangkan faedah kepada pengusaha dan pekerja tempatan.

Di samping memantau cara-cara untuk membekalkan sumber tenaga manusia yang berpatutan dengan keperluan industri, terutamanya daripada kalangan anak-anak tempatan; tumpuan juga diberikan untuk memantapkan ekosistem bagi semua perkara-perkara ini dijalankan serentak menuju ke arah perkembangan ekonomi pada jangka panjang.

Yang Berhormat Pengiran Haji Ali yang kemudiannya diberikan laluan untuk berucap, melahirkan harapan bahawa kementerian akan dapat memenuhi aspirasinya, khususnya terhadap mengukuhkan dan mempelbagaikan ekonomi sebelum butiran terperinci mengenai perancangan kementerian disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), Haji Zolkiflee bin Haji Abdul Karim dan Pemangku Setiausaha Tetap (Industri), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

Antara lain perbincangan yang disentuh pada sesi muzakarah tersebut adalah mengenai kepentingan menegakkan prinsip-prinsip Melayu Islam Beraja (MIB); penggunaan program dan kemudahan yang berkesan untuk menyokong pembangunan pekerja tempatan yang siap sedia di semua peringkat, termasuk graduan dan TVET; pelbagai perkhidmatan dan proses kerajaan; perlindungan alam sekitar dan pembangunan produk dan perkhidmatan tempatan.

Turut hadir pada dialog itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad, para pegawai dari kementerian, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Auto-riti Elektrik Negara Brunei Darussalam, DARe dan SHENA.

SAHAM
TerdahuluAS Monaco terus mara
SeterusnyaMourinho bakal kembali