Mantapkan kerjasama, pembangunan ekosistem digital ASEAN

KUALA LUMPUR, 21 JAN – Memantapkan jalinan kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN ke arah pembangunan ekosistem digital, akan menjadi fokus utama Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN yang pertama (ADGMIN1) yang bermula hari ini.

Mesyuarat dua hari yang berlangsung secara maya dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas majlis perasmian hari ini menyatakan, mesyuarat itu akan memperluaskan kerjasama Malaysia bersama Rakan Dialog ASEAN – Jepun, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan, India dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) – dalam memperbaiki polisi ICT, pembangunan sumber manusia dan meneroka teknologi baharu.

“Ini akan terus meningkatkan keupayaan kesemua negara ASEAN dalam menghadapi risiko di ruang siber, yang akan dapat dilihat menerusi pelancaran Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM 2025) pada 22 Januari,” menurut kenyataan itu.

Selain ADM 2025, prosedur pentadbiran dan kaedah pemindahan data antara anggota negara ASEAN juga akan dirumuskan, untuk menjadi dasar utama dalam menerapkan transformasi digital – Kerangka Kerja Tadbir Urus Data Digital ASEAN (ASEAN Digital).

 Bertemakan ‘ASEAN: Komuniti Yang Dihubungkan Secara Digital’, ADGMIN1 bertujuan untuk menarik penglibatan lebih banyak sektor swasta menyertai dalam pembangunan infrstruktur ICT dan perkhidmatan berkualiti, serta meningkatkan daya saing ASEAN bagi mendukung matlamat Komuniti ASEAN. – Bernama

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah semasa mempengerusikan mesyuarat dengan Negara Anggota ASEAN bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN pertama dan Mesyuarat Berkaitan kelmarin. – Bernama