Mantapkan kerjasama pendidikan bahasa arab

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Ke arah meningkatkan peluang dan mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam untuk membawa
kembali kegemilangan umat Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Mu’tamar Bahasa
Arab Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 2019.

Majlis kali kedua yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB itu menjadi wadah bagi mengeratkan kerjasama pelbagai pihak di Negara Brunei Darussalam dalam mengembangkan peluang dan mutu pengajaran Bahasa Arab dalam mengukuhkan jati diri Negara Zikir.

Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha dalam ucapan alu-aluannya mengharapkan bahawa Mu’tamar yang diadakan itu boleh menjadi wadah dalam memantapkan lagi kerjasama semua agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan pendidikan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa ada terdapat keperluan bagi melihat kepada beberapa isu kebangsaan bersama semua pihak yang berkaitan agar sama-sama dapat menyumbang ilmu dan pemikiran ke arah pengembangan pengajaran bahasa Al-Quran di Negara Zikir ini.
Acara diteruskan lagi dengan sesi pembentangan, perbincangan dan perancangan berfokuskan kepada visi, misi dan matlamat serta perancangan setiap jabatan, bahagian dan sekolah dalam mengembangkan lagi Bahasa Arab di negara ini.

Beberapa jabatan, bahagian dan sekolah yang menyertai Mu’tamar berkenaan termasuk Pusat Bahasa KUPU SB, Fakulti Bahasa Arab UNISSA, Jabatan Pengembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Jabatan Pengajian Islam (JPI), MUBn Learning and growth, Tarbiyah Global dan Naderen.

Dr Haji Abang Hadzmin ketika menyampaikan ucapan alu-alunnya semasa majlis tersebut.
Antara yang menghadiri majlis tersebut.

Sesi pembentangan keras kerja berkenaan mengetengahkan Haji Issa bin Haji Abdul Ghani dari Unit Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Jabatan Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Pemangku Penolong Pengarah (Institusi Pengajian) JPI, Hajah Siti Marjianan binti Haji Muhammad.

Mu’tamar juga diselajurkan dengan penandatangan memorandum perjanjian antara Fakulti Bahasa Arab, UNISSA dan Pusat Bahasa, KUPU SB.

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Dekan Fakulti Bahasa Arab, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad dan Dr Haji Abang Hadzmin mewakili KUPU SB.

Acara juga diserikan dengan forum khas bertajuk ‘Bahasa Arab di Brunei, Kitani Hayati’ yang menampilkan tiga panel utama iaitu Pengarah Antarabangsa dan Perhubungan Awam UNISSA, Haji Sammali bin Haji Adam; Haji Zulkifli bin Haji Mohd Salleh dan Awang Muhammad Adi Adham bin Ramlan yang merupakan mahasiswa program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, KUPU SB.

Membincangkan mengenai pengalaman dan kesulitan dalam mempelajari Bahasa Arab, Haji Sammali menjelaskan bahawa sesi pembelajaran yang dilaksanakan dahulu adalah secara berperingkat di mana kaedah yang digunakan pada peringkat awal iaitu melalui perbualan (muhadasah) dan hafalan beberapa perkataan Bahasa Arab bagi perkara-perkara asas seperti peralatan sekolah.

Bila melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, maka sesi pembelajaran didalamkan termasuk mempelajari jamak, nahu dan lain-lain.

Haji Sammali menjelaskan bahawa perlu ada usaha untuk membiasakan bercakap dalam Bahasa Arab pada bila-bila masa dan di mana pun kerana Bahasa Arab merupakan sebahagian daripada diri iaitu bahasa ibadah.