Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maradona bakal beraksi di India

    NEW DELHI, 4 Mei – Legenda bola sepak Diego Maradona dijangka membuat lawatan ke bandar yang menggilai bola sepak, Kolkata pada bulan September menjelang Piala Dunia FIFA Bawah-17 yang dihoskan oleh India.

    Superstar Argentina itu akan terlibat dalam satu perlawanan bola sepak amal menentang bekas kapten India, Sourav Ganguly, menurut penganjur acara itu.

    Maradona, yang diberikan sambutan besar semasa dia pertama kali datang ke bandar India itu pada tahun 2008, juga akan dianugerahkan pencapaian sepanjang masa di negeri Barat Bengal itu.

    “Ia satu penghormatan kepada saya untuk membuat kunjungan ini. Kolkata merupakan sebuah tempat yang sangat istimewa dan saya mempunyai kenangan yang bagus dari kunjungan pertama saya beberapa tahun yang lalu, para penyokong sangat menakjubkan,” menurut kenyataan Maradona melalui laman Facebooknya.

    Gambar fail pada 7 Disember 2008 menunjukkan Diego Maradona ketika berada di India bagi menghadiri acara di Kelab Bola Sepak Mohun Bagan di Kolkata. – AFP
    Gambar fail pada 7 Disember 2008 menunjukkan Diego Maradona ketika berada di India bagi menghadiri acara di Kelab Bola Sepak Mohun Bagan di Kolkata. – AFP

    “India adalah sebuah negara yang sangat meminati sukan bola sepak, dan saya tidak sabar untuk berjumpa dengan penyokong generasi baru, sambil terus menyebarkan kasih sayang yang ada pada saya bagi sukan yang cantik ini.”

    Bola sepak begitu terkenal di Kolkata, dengan para penyokong sangat mengambil tahu mengenai perlawanan-perlawanan antarabangsa, meskipun India didominasi oleh sukan kriket.

    Bandar tersebut juga pernah menerima kunjungan Pele, yang kali terakhir melawat ke sana pada 2015.

    Kunjungan Maradona dijangka menambah keterujaan bagi Piala Dunia B-17, yang mana India akan menghoskannya buat pertama kali bulan Oktober ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda