Maradona ‘hidup semula’

CULIACAN, Mexico, 11 Sept – Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona menggambarkan keputusannya untuk melatih kelab divisyen dua Mexico, Dorados, sebagai ‘kelahiran semula’ setelah beberapa tahun bergelut dengan ketagihan, ketika dia secara rasmi diumumkan sebagai pengurus baharu skuad itu semalam.

Maradona, yang bergelut dengan ketagihan dadah, alkohol dan obesiti, berasa ragu dengan keputusan untuk menggalas tugas baharu itu di tengah-tengah kartel dadah Mexico, Sinaloa yang berdepan dengan kekacauan.

Tetapi semasa sidang akhbar pertamanya bagi Dorados, dia menggambarkan tugas itu sebagai permulaan baharu yang sihat selepas lama ‘sakit’, yang secara tidak langsung menyentuh waktu silamnya.

“Saya mahu memberi Dorados apa yang telah hilang ketika saya sakit,” dia memberitahu 200 wartawan yang memenuhi bilik persidangan hotel di Culiacan, di mana dia secara rasminya diperkenalkan sebagai jurulatih kelab baharu yang berdepan pergelutan.

“Saya sakit selama 14 tahun. Sekarang saya mahu melihat matahari, saya mahu pergi tidur pada waktu malam. Saya tidak pernah merasakan tidur. Saya juga tidak tahu apa itu bantal. Sebab itu saya menerima tawaran daripada Dorados,” katanya.

Maradona ketika diumumkan sebagai jurulatih Dorados di Culiacan, negeri Sinaloa, Mexico, kelmarin. – AFP

Mexico menjadi saksi kejayaan luar biasa Maradona sebagai pemain, memimpin Argentina menjuarai gelaran Piala Dunia 1986.

Tetapi dia mengejutkan dunia bola sepak dengan keputusannya untuk melatih kelab divisyen dua yang pada masa ini berada di tangga ke-13 dalam liga 15 buah pasukan.

Gurauan kemudian tercetus dalam talian mengenai destinasi pilihannya: Sinaloa mungkin lebih baik dikenali sebagai kediaman kepada kartel dadah dan Dorados dimiliki oleh sebuah keluarga berpengaruh dalam politik, keluarga Hank, yang didakwa mempunyai hubungan dengan aktiviti penyeludupan dadah.

Maradona, bagaimana pun, menegaskan fokusnya adalah ke atas bola sepak, menganggap kedudukan ini sebagai yang terbaik sepanjang hidupnya. – AFP