Maradona keluar hospital

BUENOS AIRES, 14 Jan – Lagenda bola sepak Argentina, Diego Maradona dibenarkan keluar hospital selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan dalaman, lapor agensi berita Xinhua memetik jurucakap bintang yang memenangi Piala Dunia 1986 itu, semalam.

Pembedahan itu dijalankan awal bulan ini selepas doktor mengenal pasti masalah berkenaan sewaktu beliau menjalani pemeriksaan kesihatan rutin di Klinik Olivos di Buenos Aires.

“Diego Maradona baru saja dibenarkan keluar dan kini pulang ke rumah untuk berehat,” kata peguam Maradona, Matias Morla menerusi laman media sosial.

Menurut media tempatan, pendarahan itu berpunca daripada masalah angin pasang di perut dan ia tidak serius. Maradona, 58, dijangka berlepas ke Mexico dalam masa beberapa hari lagi untuk menyambung tugasnya sebagai ketua jurulatih pasukan Dorados de Sinaloa.

Bekas penyerang Boca Juniors, Barcelona dan Napoli itu sering mengalami masalah kesihatan sejak menggantung kasut bola pada 1997.

Pada 2004, beliau dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung dan pernafasan akibat masalah ketagihan dadah.

Beliau juga sudah dua kali menjalani pembedahan usus bagi mengawal berat badan selain menjalani rawatan mengatasi masalah ketagihan arak. – Bernama