Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    ‘Maradona’ muncul menjelang Piala Dunia

    BUENOS AIRES, ARGENTINA – Di tengah-tengah hutan konkrit di ibu kota Argentina yang sibuk, mural gergasi Diego Maradona yang menyarung jersi pasukan kebangsaan telah terpapar di dinding bangunan 14 tingkat di Buenos Aires.

    Karya seni yang besar, setinggi 45 meter kali 40 meter dan dicat di sisi bangunan 14 tingkat di Buenos Aires, adalah salah satu daripada beberapa penghormatan yang telah didedikasikan oleh rakyat Argentina untuk Maradona yang dianggap sebagai permain tersohor menjelang pembukaan Piala Dunia tahun ini di Qatar.

    Ini merupakan kali pertama sejak kematian Maradona pada 25 November 2020.

    Pencapaian dan kekalahan Maradona sebagai pemain dalam pasukan kebangsaan sentiasa dikenang, daripada jaringan terkenal ketika menentang England sebelum negara itu memenangi Piala Dunia 1986 hingga ke perlawanan akhir ketika pasukan mereka tewas menentang Jerman Barat empat tahun kemudian, dan ujian doping yang menyebabkan dia disingkirkan daripada Piala Dunia berikut pada 1994.

    Artis jalanan terkenal Martin Ron adalah artis yang bertanggungjawab melukis mural terbesar di dunia, diilhamkan oleh gambar kapten Argentina ketika itu yang merakamkan ekspresinya sejurus sebelum dia menyanyikan lagu kebangsaan pada perlawanan akhir Piala Dunia 1990 menentang Jerman Barat, ketika Argentina tewas 1- 0.

    Wanita bermain dengan bola semasa perasmian mural Diego Maradona oleh artis Martin Ron di Buenos Aires, Argentina. – AP

    “Ia adalah gambar Diego ketika dia hampir memenangi bintang ketiga negara itu,” kata Ron kepada The Associated Press semasa berehat daripada kerja yang dimulakannya sebulan lalu.

    Argentina juga memenangi Piala Dunia pada tahun 1978, tetapi Maradona tidak menyertai pasukan semasa kejohanan itu.

    “Foto itu merumuskan segala-galanya mengenai Diego,” kata Ron. “Dia adalah pemain yang berani.”

    Di sebelah muka Maradona, Ron melukis buruj bintang dalam bentuk layang-layang, merujuk kepada nama samarannya ‘layang-layang kosmik’, yang mana seorang pengulas radio terkenal memanggil bintang bola sepak itu selepas gol keduanya menentang England pada 1986.

    “Ketiadaannya akan dirasai, Diego sentiasa menjadi bintang. Dalam semua Piala Dunia dia melakukannya bersendirian, di dalam dan di luar padang,” kata Ron.

    “Dan di Qatar, malangnya dia tidak akan berada di sana.”

    Mural Ron telah diumumkan secara rasmi pada Ahad bersempena dengan hari lahir pemain bola sepak itu.

    Beberapa hari sebelum itu, persatuan bola sepak Argentina menerima jersi asal yang dipakai Maradona dalam Piala Dunia 1986. Ia merupakan hadiah daripada pemain hebat Jerman Lothar Matthaus, yang bertukar jersi dengan Maradona selepas perlawanan akhir yang dimenangi Argentina 3-2 di Stadium Azteca di Mexico City.

    “Salah satu detik paling menggembirakan bersamanya ialah apabila pengadil Brazil Arppi Filho meniup wisel semasa perlawanan akhir di Mexico. Saya kebetulan sangat rapat dengan Diego, saya bernasib baik kerana dia memeluk saya sebelum orang lain,” kata bekas pemain Ricardo Giusti semasa acara baru-baru ini bersama bekas juara Piala Dunia yang lain di luar Buenos Aires.

    “Kami sangat menikmatinya, semua orang menikmati aksi Diego di atas padang. Itu yang menyedihkan.

    “Ia membuatkan kami sedih dan kecewa,” kata bekas pemain tengah itu. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...