Maraton Boston dibatalkan selepas 124 tahun

BOSTON, 29 MEI – Penganjur telah membatalkan Maraton Boston kelmarin buat pertama kali dalam sejarahnya, akur kepada penjarakan sosial bagi mencegah wabak koronavirus dan mengakhiri jangka masa 124 tahun yang berlanjutan melalui dua perang dunia, letusan gunung berapi dan pandemik lainnya.

Perlumbaan, yang menarik 30,000 peserta dan sudah ditangguhkan dari 20 April kepada 14 September, akan digantikan dengan acara maya di mana peserta yang mengesahkan bahawa mereka berlari sejauh 26.2 batu (42.2 km) sendiri akan menerima pingat mereka masing-masing.

“Ia sudah jelas dibatalkan berikutan dengan krisis pandemik global sehingga 14 September,” kata Datuk Bandar Marty Walsh pada sidang akhbar di luar Dewan Bandaraya, di mana pelari lazimnya berkumpul untuk makan malam menjelang acara itu.

“Ini adalah satu tentangan, tetapi menghadapi tentangan berat adalah apa yang dilakukan oleh Maraton Boston,” tambah Walsh.

“Ini adalah simbol ketahanan bandar dan negara kita. Oleh itu, kita semua perlu bersatu hati dan terus mengekalkan semangat itu.”

Walaupun Maraton Boston disertai oleh beberapa atlet elit, tetapi acara ini turut disertai oleh 30,000 pelari, dengan seramai satu juta orang berhimpun di sepanjang jalan dari Hopkinton ke Boston Back Bay.

“Tidak ada cara untuk mengekalkan format perlumbaan biasa ini tanpa membawa sebilangan besar peserta,” kata Walsh. Maraton tahunan terpanjang di dunia, Maraton Boston bermula pada tahun 1897 ketika 15 pelari lelaki memulakan perlumbaan di tanah Ashland menuju ke kota untuk memperingati sukan Olimpik moden pertama tahun sebelumnya.

Pada tahun 1918, formatnya diubah menjadi relay kerana Perang Dunia I, sementara perlumbaan pada 2013 dihentikan ketika dua bom meletup di garisan penamat, beberapa jam selepas pemenang berjaya menamatkan larian. – AP

Gambar fail 15 April 2019 menunjukkan peserta lelaki elit memulakan larian Maraton Boston ke-123 di Hopkinton, Mass. Maraton Boston 2020 dijadualkan semula pada 14 September nanti. – AP