Marcelo ucap selamat tinggal

MADRID, 30 MEI – Kapten Real Madrid, Marcelo mengucapkan selamat tinggal dengan penuh emosi ketika para pemain meraikan kemenangan Liga Juara-Juara ke-14 di Santiago Bernabeu.

Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0 di Stade de France pada malam Sabtu, ketika Vinicius Junior menjaringkan gol kemenangan untuk memastikan kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara kelima mereka dalam sembilan musim terakhir.

Untuk meraikan kejayaan, para pemain membawa trofi berarak menaiki bas terbuka di sekitar Madrid kelmarin, termasuk perhentian di Katedral Almudena, ibu pejabat kerajaan wilayah, Dewan Bandaraya, Plaza Cibeles dan akhirnya di Santiago Bernabeu.

Marcelo mengetuai sambutan dan terharu ketika dia dipersembahkan kepada orang ramai di dalam stadium. Pemain Brazil itu telah berada di Real Madrid sejak 2007 dan membuat keputusan untuk meninggalkan kelab tersebut musim panas ini selepas mengumpul trofi Liga Juara-Juara kelimanya.

“Ia adalah saat yang indah dalam hidup saya, saya mengakhiri perjalanan di sini, di kelab terbaik di dunia,” kata Marcelo dalam ucapannya kepada peminat. – AFP

Reaksi pemain pertahanan Real Madrid dari Brazil, Marcelo menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA selepas kemenangan pada Sabtu lalu. – AFP