Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Marcos diisytihar presiden Filipina

    MANILA, 25 MEI – Ferdinand Marcos Jr hari ini telah diisytiharkan sebagai presiden Filipina seterusnya selepas menang pilihan raya.

    Marcos, yang secara rasminya akan memulakan tugasnya bulan depan, mendapat lebih 31.6 juta undian atau 58.8 peratus keseluruhannya, menurut jumlah terakhir yang dikeluarkan oleh parlimen.

    Beliau adalah calon presiden pertama yang memenangi majoriti langsung sejak ayahnya disingkirkan dalam satu pemberontakan popular pada tahun 1986, satu era pemerintahan yang digambarkan penuh dengan rasuah berleluasa dan penganiayaan hak asasi kemanusiaan.

    Sesi bersama Dewan Perwakilan dan Senat mengesahkan keputusan itu dan mengisytiharkan Marcos sebagai presiden ke-17 Filipina.

    Beliau akan mengangkat sumpah pada 30 Jun. Bercakap selepas majlis itu, Marcos berkata dia berasa ‘rendah hati’ dengan kejayaannya dalam undian itu dan berikrar untuk ‘sentiasa berusaha lebih baik lagi’.

    “Saya ingin melakukan dengan baik kerana apabila seorang presiden melakukannya dengan baik sudah pasti negara itu akan lebih baik,” katanya kepada wartawan.

    Rakan bertanding Marcos, Sara Duterte, anak perempuan Presiden Rodrigo Duterte, diisytiharkan sebagai naib presiden.

    Memakai baju kemeja, Marcos yang berusia 64 tahun itu menyambut Sara Duterte dengan pelukan ketika dia tiba di sebuah bilik di bangunan parlimen.

    Ibunya bekas wanita pertama, Imelda Marcos, 92, dan wanita pertama baharu, Loiuse Araneta-Marcos, bersama sanak saudara lainnya serta para penyokong turut hadir pada majlis itu. – AFP

    Ferdinand Marcos Jr (kanan) bergambar bersama sijil pengisytiharannya sebagai presiden sambil disaksikan oleh Presiden Senat, Vicente Sotto III dan ibunya (dua, kanan). – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...