Marcos Jr buat ujian dadah

MANILA, 23 NOV – Anak lelaki dan mempunyai nama sama dengan bekas dictator Filipina, Ferdinand Marcos berkata hari ini, dia membuat ujian kokain selepas Presiden Rodrigo Duterte menuduh seorang calon presiden yang tidak dinamakan mengambil dadah haram.

Marcos Jr, antara calon bertanding untuk menggantikan Duterte pada 2022, berkata dalam satu kenyataan bahawa dia diuji pada Isnin dan telah menghantar keputusannya kepada tiga agensi polis.

Dia memberitahu penyiar tempatan bahawa dia telah diuji negatif.

“Saya benar-benar tidak rasa bahawa sayalah orang yang disebut itu,” kata Marcos Jr, yang lebih dikenali sebagai ‘Bongbong’.

“Namun begitu, saya percaya bahawa adalah kewajipan sebagai seorang yang berhasrat menjadi pegawai awam untuk meyakinkan rakan-rakan senegara bahawa saya menentang dadah haram. Sebab itulah saya membuat ujian kokain semalam,” katanya,

Duterte yang melancarkan perang berdarah terhadap dadah yang telah membunuh beribu-ribu orang, tidak menyebut calon yang didakwanya menggunakan kokain.

Ada kalanya dia merujuk orang berkenaan dengan ganti nama lelaki.

“Terdapat seorang calon yang menggunakan kokain, awda boleh bertanya orang kaya,” kata Duterte semalam.

“Kenapa saya tidak menahan orang itu? Awda tidak kenal orang kaya, mereka menaiki perahu layar atau di udara, di sanalah mereka mengambilnya (dadah),” katanya lagi. – AFP

Gambar fail bertarikh 6 Oktober 2021 menunjukkan bekas senator Filipina, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr selepas memfailkan pencalonannya bagi pilihan

raya presiden 2022 di Pasay. – AFP