Marcos tawan pendakian Cameron

CAMERON HIGHLANDS, 18 OKT – Pelumba Sepanyol, Marcos Garcia kini mendahului perlumbaan sekali gus pemegang jersi kuning perlumbaan berbasikal Tour of Peninsular (ToP) dengan kelebihan tiga minit, selepas memenangi peringkat kedua terakhir hari ini.

Pelumba berusia 32 tahun dari Kinan Cycling Team, berjaya mendahului pelumba pilihan dan rakan sepasukan, Thomas Lebas untuk memenangi Peringkat Queen yang bermula dari Sungai Koyan sebelum memulakan pendakian ke Tanah Rata (89.5 kilometer) dalam masa 2 jam, 21 minit dan 12 saat.

Thomas, antara pilihan untuk memenangi jersi kuning, menamatkan perlumbaan 50 saat di belakang, manakala pelumba dari Indonesia, Odie Purnomo Setiawan (PGN Road Cycling Team) di tempat ketiga (2:22:53s).

Perlumbaan hari ini bermula dengan dua zon pecutan di Kg Tiat dan Kg Leyar sebelum pendakian Kategori 1 di Ringlet (1,104 meter) dan berakhir dengan pendakian Kategori Hors menuju Tanah Rata (1,440 meter).

Dengan kemenangan ini Marcos merampas jersi kuning dari pemenang semalam, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki dari Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) yang menamatkan pelumbaan di tempat ke-68, 13 minit dan 32 saat di belakang pemenang. – Bernama

Marcos Garcia (kanan) dinobatkan sebagai Pendahulu Keseluruhan (Jersi Kuning) dengan catatan masa 13 jam 39 minit dan 41 saat pada peringkat keempat ToP 2019 melibatkan jarak 89.5 kilometer dari Sungai Koyan ke Tanah Rata, kelmarin. – Bernama