KOTA BHARU, 6 OKT – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memperkenalkan padi hibrid pertama negara yang dikenali sebagai MR 12H.
Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Roff Mohd Noor berkata antara keistimewaan MR 12H, varieti padi ke-50 Mardi yang dibangunkan sejak 2007, adalah matang awal iaitu sekitar 104 hingga 106 hari selepas ditabur dan rintang terhadap penyakit karah.
“Kacukan di antara varieti 25A dan 4R telah menghasilkan varieti MR 12H dan ia merupakan varieti padi hibrid Malaysia yang pertama yang sesuai dengan persekitaran Malaysia dan mempunyai citarasa nasi yang disukai oleh kebanyakan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengisytiharan Varieti Padi Hibrid MR 12H di Ladang Merdeka Mulong di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehuddin Hassan, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Nik Roslan Idris dan Pengarah Mardi Kelantan Zainuddin Zakaria @ Hussin.
Mohamad Roff berkata purata hasil varieti MR 12H di Mulong dan Teratak Pulai ialah sekitar 7.1 hingga 7.3 tan sehektar dengan peratus peningkatan sekitar 20 peratus berbanding varieti padi MR 297 yang ditanam di kawasan yang sama.
Beliau berkata benih padi berkenaan akan diagihkan kepada petani yang berminat bermula musim kedua penanaman padi tahun depan. – Bernama



































