Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Mardi realisasikan hasrat peniaga keluar pes kari, ikan bakar

    KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik kedai makan bersyukur kerana hasratnya untuk mengeluarkan sendiri pes kari dan ikan bakar yang sering mendapat permintaan tinggi pelanggan akhirnya tercapai setelah mengikuti kursus di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

    Abdul Mutalib Mohamad, 38, yang mula berniaga secara kecil-kecilan pada tahun 2015 berkata MARDI banyak membantunya dalam mengendalikan proses untuk mengeluarkan produk pes kari ikan, kari ayam dan daging serta pes ikan bakar jenama Warung Santai D’River (WSDR).

    Dia berkata buat permulaan, pihaknya mengeluarkan 1,000 peket pes tersebut untuk dijual di lima cawangan Pasar raya Sabasun seluruh Terengganu dan di dua cawangan WSDR iaitu di Kuala Terengganu dan Paka.

    “Saya juga telah mendapat tawaran awal dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menembusi pasaran Dubai serta beberapa negara Asia Tenggara yang lain dalam masa terdekat. 

    “Selain itu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu juga banyak membantu dari segi promosi dan bimbingan perniagaan. Tanpa bantuan semua agensi dan jabatan kerajaan ini, impian untuk mengeluarkan sendiri pes jenama sendiri mungkin agak sukar dicapai,” katanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu Mohd Iskandar Muhammad Aziz (tengah) diiringi pemilik kedai Abdul Mutalib Mohamad, 38, (dua, kanan) memasak kari ikan pada Majlis Pelancaran Pes D’River di Warung Santai D’River, Kampung Pasir Tinggi. – Bernama

    Dia berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pes kari WSDR yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu Mohd Iskandar Muhammad Aziz di sini hari ini.

    Abdul Mutalib berkata dia menggunakan modal sendiri sebanyak RM10,000 hasil keuntungan di dua cawangan kedai makan WSDR sebagai permulaan untuk mengeluarkan pes tersebut.

    “Setiap kali pelanggan tanya sama ada pes kari dan ikan bakar turut dijual, saya hanya mampu berkata ia akan dikeluarkan tidak lama lagi sedangkan saya sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk mengeluarkan pes jenama sendiri.

    “Hasrat saya tercapai apabila seorang rakan mencadangkan agar saya mengikuti kursus di MARDI Terengganu pada tahun lepas dan terus berusaha merealisasikannya dalam tempoh tidak sampai dua bulan,” katanya yang kini mempunyai 30 pekerja di dua cawangan kedai makan tersebut.

    Terletak di tepi Sungai Terengganu dekat Kampung Pasir Tinggi di sini, kedai makan WSDR menjadi tumpuan orang ramai dan pernah tular sebelum ini kerana menu utamanya, kari kepala ikan adalah hidangan yang jarang dijual oleh restoran atau kedai makan yang lain di sekitar Terengganu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...