BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Dalam usaha untuk membantu memastikan simpanan bekalan darah berada di tahap optimum, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengadakan beberapa kempen derma darah pada minggu ini yang dibukakan kepada orang ramai.
Esok, kempen akan diadakan Dewan Sukma Indera, Bangunan CSPS, Gadong dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi yang dianjurkan bersama Pusat Pembelajaran Strategik dan Dasar (CSPS).
Pada 14 Oktober, kempen akan dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos di Pusat Pemprosesan Surat Berakas di mana ia akan bermula pukul 9 hingga 11 pagi dan pada sebelah petang dari 1:30 hingga 3:30 petang.
Selain itu, Pusat Membeli-belah Mabohai turut menganjurkan kempen menderma darah di Tingkat 2, pusat membeli-belah berkenaan pada 17 Oktober bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.
Manakala itu, Hotel Parkview akan menganjurkan kempen serupa pada 18 Oktober bermula pukul 9 pagi hingga 1 petang.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menyatakan bahawa Pusat Pendermaan Darah pada masa ini memerlukan darah jenis A bagi kegunaan pemindahan darah terutamanya bagi pesakit talasemia dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.
Dalam pada itu, orang ramai yang berhasrat untuk menderma darah diingatkan untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen diadakan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 atau 6001, e-mel kepada bloodbank@moh.gov.bn dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).