Tuesday, April 29, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maria berpotensi bawa bencana

    ST JOHN ISLAND, Amerika Syarikat, 20 Sept – Taufan Maria mendekati Pulau Virgin dan Puerto Rico hari ini ketika peramal kaji cuaca memberi amaran ribut ‘berpotensi membawa bencana’ yang sudah pun meragut dua jiwa di Caribbean.

    Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat (AS) berkata Maria membawa angin kencang selaju 165 batu (265km) sejam ketika ia mendekati AS dan Pulau Virgin Britain, yang masih lagi bergelut untuk pulih daripada ribut Irma yang memusnahkan.

    Maria masih lagi kekal ‘menjadi taufan sangat berbahaya Kategori 4 atau 5’ ketika ia mara ke wilayah AS, Puerto Rico, kata NHC, memberi amaran ‘ombak besar dan memusnahkan’.

    “Puerto Rico dilanda teruk oleh taufan besar baru,” tweet Presiden AS, Donald Trump.

    “Berhati-hati, kami bersama anda – akan berada di sana untuk membantu!”

    Penduduk berlindung di Koliseum Roberto Clemente di San Juan, Puerto Rico pada awal 20 September ketika Taufan Maria melintasi pulau itu. – AFP

    Penduduk Puerto Rico tergesa-gesa menutup tingkap menggunakan papan dan membeli bekalan di saat-saat akhir ketika ribut itu muncul di pulau yang dihuni oleh lebih 3.5 juta penduduk.

    Penduduk tempatan di Pulau Virgin AS melaporkan hujan mendatar dan pokok-pokok bergoyang ditiup angin.

    “Cuaca sangat ganas dan tegang sekarang ketika kami baru saja mula mengalami kekuatan angin taufan,” kata Coral Megahy, 31, berlindung di pulau St Croix.

    “Kami juga mendengar bunyi benda-benda yang ditiup angin menghempap ke tingkap.”

    Maria telah melanda ke beberapa pulau Caribbean, mengorbankan kira-kira dua orang di wilayah Guadeloupe, Perancis dan mengakibatkan kemusnahan besar di Dominica.

    Culebra, Vieques dan sebahagian Republik Dominica masih dalam keadaan berwaspada. Puerto Rico telah membukakan kira-kira 500 tempat perlindungan dengan kapasiti untuk membawa masuk kira-kira 67,000 orang, ketika Gabenor Ricardo Rossello memberi amaran untuk berdepan dengan ‘ribut paling teruk pada abad terakhir’.

    “Saya tidak menafikan yang saya takut,” kata Noemi Aviles Rivera, seorang guru berusia 47 tahun, yang pernah berdepan dengan Taufan Hugo pada 1989 dan Georges pada 1998.

    “Saya rasa bimbang kerana ia adalah pertama kali saya melihat taufan dengan magnitud sebegini.”

    Rossello mentweet bahawa lebih 11,000 orang sudah pun mendapat perlindungan dengan hampir 200 haiwan juga diselamatkan. Di Guadeloupe, seorang terkorban akibat pokok tumbang ketika Maria membadai, sementara seorang lagi maut di tepi laut.

    Kira-kira dua lagi hilang selepas bot mereka karam di luar wilayah Perancis, sementara kira-kira 40 peratus kediaman tanpa bekalan elektrik di kepulauan dengan penduduk seramai 400,000 orang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda