Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Stok darah pada masa ini adalah di tahap yang sangat rendah di mana Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan tabung-tabung darah di kesemua hospital daerah memerlukan dengan segera penderma darah bagi semua jenis darah.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyeru orang ramai untuk datang menderma darah bagi sama-sama membantu usaha Pusat Pendermaan Darah dalam meningkatkan stok bekalan darah di Negara Brunei Darussalam.
Kenyataan turut menyatakan bahawa waktu-waktu operasi bagi perkhidmatan pendermaan darah ialah Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan pukul 1:30 petang hingga 4 petang, Tabung Darah, Hospital Suri Seri Begawan, Belait pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan pukul 1:45 petang hingga 3:30 petang serta Tabung Darah, Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi dan pukul 1:30 petang hingga 3:30 petang.
Di samping itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum juga akan mengadakan kempen-kempen derma darah bersempena dengan Sambutan Semarak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38.