Marin, Axelsen ungguli gelaran terbuka Thailand

BANGKOK, 24 JAN – Carolina Marin (gambar bawah) dari Sepanyol dan Viktor Axelsen dari Denmark berjaya meraih gelaran perseorangan badminton Terbuka Thailand kedua mereka hari ini dalam dua minggu berturut-turut.

Axelsen berjaya menumpaskan rakan senegaranya, Hans-Kristian Solberg Vittinghus pada perlawanan akhir lelaki di Bangkok.

Marin, juara Olimpik pula berjaya menewaskan pilihan utama, Tai Tzu-ying untuk kali kedua dalam dua minggu berturut-turut.

Thailand menjadi tuan rumah untuk mengadakan tiga kejohanan badminton berturut-turut dalam gelembung koronavirus yang dikawal ketat, tanpa penonton untuk mengekang penularan wabak koronavirus.

Marin, 27, melangkah ke final tanpa kalah satu perlawanan dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

Dalam pertandingan yang jauh lebih sengit daripada final pertama minggu lalu, pemain Sepanyol itu memenangi perlawanan set pertama 21-19.

Pemain berusia 26 tahun dari Taiwan itu kelihatan kehilangan keyakinan diri pada awal set kedua, ketika Marin mengambil peluang mendominasi perlawanan.

“Saya berasa sangat gembira. Dua kemenangan dalam dua minggu ini adalah cara yang luar biasa untuk memulakan tahun ini,” kata Marin.

“Saya mengatakan kepada diri saya dan pasukan saya bahawa tahun 2021 saya akan menjadi pemain baharu dengan lebih fokus pada permainan.”

Tai mengakui dia tidak dapat menandingi kepantasan Marin.

“Saya tidak dapat menahan diri daripada melakukan kesalahan tanpa paksa,” katanya.

Wanita bukan Asia pertama yang memenangi emas Olimpik, Marin telah menghadapi pertempuran sukar untuk pulih daripada kecederaan lutut pada Januari tahun lalu untuk mempertahankan gelarannya di Olimpik Tokyo.

Axelsen 27, menumpaskan Vittinghus, 35 dengan mudah. Vittinghus, yang menduduki tempat ke-42 dunia gagal mempamerkan aksi baik.

“Saya akan menginap di hotel dan bercakap dengan keluarga saya, anak perempuan saya di rumah dan itulah yang ada di menu malam ini,” kata Axelsen. – AFP