SINGAPURA, 15 Jan – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini secara rasmi membuka Marina One dan DUO, dua pembangunan mercu tanda oleh M+S Pte Ltd hasil daripada pertukaran tanah antara Singapura dan Malaysia pada 2010 – menjelang Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia Ke-8.
Majlis perasmian yang diadakan di Green Heart Marina One – taman biodiversiti mengandungi lebih 160,000 tumbuh-tumbuhan dan pokok, yang terdiri daripada 386 spesies – dihadiri oleh delegasi menteri dari Malaysia dan Singapura dan kira-kira 300 tetamu kehormat.
“Di bawah kepemimpinan yang mantap dan pandangan jauh dua Perdana Menteri kita, satu penyelesaian yang saling menguntungkan dan menang-menang telah ditemui dan dipersetujui untuk menyelesaikan isu yang sudah lama berlarutan, iaitu tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura, yang mencerminkan hubungan dua hala yang harmoni antara kedua-dua negara,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah M+S, Tan Sri Azman Yahya pada majlis perasmian Marina One dan DUO di sini. Azman berkata, pertukaran Perjanjian Pemegang Saham M+S di antara Khazanah dan Temasek dilakukan di Putrajaya pada 5 Januari 2012, disaksikan oleh kedua-dua perdana menteri dan pada Julai 2012, majlis pecah tanah Marina One dijalankan.
Pada Februari 2013, kedua-dua perdana menteri melancarkan reka bentuk seni bina Marina One, katanya. – Bernama