Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maritim Malaysia tahan dua bot asing

    KUCHING, 22 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan warga Vietnam bersama 20 awak-awak dan tekong kira-kira 65 batu nautika dari Tanjung Sirik, Sarikei kerana disyaki menangkap ikan tanpa kebenaran pada Rabu lepas.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sarawak, Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata ketika ditahan kedua-dua vesel yang dinaiki 20 awak-awak dan tekong warganegara Vietnam berusia 16 hingga 55 tahun itu juga didapati menyamar sebagai bot nelayan tempatan.

    “Kedua-dua vesel tersebut dikesan kira-kira 9 malam, setelah diperiksa didapati bahawa bot tersebut adalah bot samaran yang mempunyai nombor pendaftaran nelayan tempatan palsu.

    “Bot-bot tersebut juga tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis untuk menangkap ikan di perairan Malaysia, manakala kesemua kru bot nelayan berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua bot telah ditahan dan dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas dekat sini untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

    “Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda