Oleh Sim Y. H. & Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Sektor maritim dan pelabuhan terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada hasil negara dan sektor itu masih mempunyai potensi untuk dikembang luaskan di mana Jabatan Pelabuhan dan Jabatan Laut sedang melalui beberapa pembaharuan termasuk menyaksikan percantuman kedua-dua jabatan berkenaan menjadi Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (Maritime Port Authority Brunei Darussalam).
Badan baru itu akan mula berkuat kuasa sebelum penghujung 2017, jelas Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat ketika menyampaikan mukadimah mengenai peruntukan bagi Kementerian Perhubungan di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.
Beliau juga berkata bahawa bermula 21 Februari 2017, Operasi Terminal Kontena Muara telah diswastakan kepada Darussalam Assets dengan harapan Pelabuhan Muara dapat diurus tadbir dengan cekap dan berkesan serta dipromosikan sebagai destinasi perdagangan, transit dan zon pemprosesan eksport.
Dalam tempoh sebulan di bawah Darussalam Assets, banyak perubahan telah dibuat dalam operasi terminal berkenaan dan atas tujuan itu, pihak Darussalam Assets juga telah membentuk satu usaha sama dengan Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co. Ltd, sebuah syarikat dari Republik Rakyat China yang mempunyai pengalaman dalam pengendalian perkhidmatan pelabuhan.
“Kementerian Perhubungan mengalu-alukan pertubuhan usaha sama ini memandangkan Republik Rakyat China merupakan antara negara pengeksport yang terbesar di dunia.”
Di samping itu, pihak kerajaan telah menurunkan tarif harga perkhidmatan pelabuhan sebanyak 36 peratus bermula 1 Ogos 2016 dengan harapan untuk menjadikan pelabuhan negara lebih kompetitif.
Sementara itu, Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa Jabatan Laut akan membuka perkhidmatan lain kepada pihak swasta, termasuk perkhidmatan pilotage dan perkhidmatan bot tunda.
Mereka juga akan meluaskan lagi penggunaan sungai dan perairan Brunei sebagai kaedah pengangkutan dan membentuk satu kelas domestik bagi perahu-perahu kecil di bawah 100 GRT (Gross Register Tonnage) dan kapal-kapal yang boleh membawa muatan yang lebih berat daripada muatan kenderaan darat.
“Menggunakan kapal-kapal di sungai dan perairan sebagai kaedah pengangkutan alternatif untuk membawa barangan yang lebih berat daripada muatan kenderaan darat.”
Ulasnya lagi, “Dengan adanya keperluan sedemikian ianya akan memerlukan standard pengawalan dari segi keselamatan (ship safety) yang boleh dilaksanakan melalui Domestic Class. Maka dengan itu usaha untuk penubuhan Domestic Class adalah wajar untuk dilaksanakan.”
Mengulas lanjut mengenai Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan, ia akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada aspek kawal selia dan membuat perancangan jangka panjang bagi pertumbuhan perkhidmatan maritim dan pelabuhan.
“Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan juga akan terus memantau sistem perkapalan dan perdagangan serantau dan antarabangsa serta menilai kesan-kesan atau impaknya bagi memastikan Negara Brunei Darussalam akan terus relevan dalam rangkaian perkapalan dan logistik antarabangsa.
“Di samping itu, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan juga akan merangka strategi ke arah memperluaskan industri maritim dan perkapalan, termasuk prasarana persinggahan dan perkhidmatan lain (support services), yang sesuai dengan usaha kerajaan untuk memajukan ekonomi negara.”
Manakala itu, dari segi prestasi perdagangan negara sejauh ini, jumlah kontena TEU Throughput yang dikendalikan oleh pelabuhan negara ini adalah sebanyak 102,798 kontena pada 2015 dan ini menurun pada 2016 kepada 98,524 kontena.
“Jumlah ini adalah hanya 50 peratus daripada kapasiti pelabuhan yang boleh mengendalikan sebanyak 220,000 kontena dalam setahun.
“Sepanjang tahun 2016, sebanyak 2,515 buah kapal telah tiba di pelabuhan negara ini, termasuk 16 buah kapal persiaran yang membawa seramai 16,667 orang penumpang dan 8,155 orang anak kapal.”