Thursday, December 7, 2023
31.5 C
Brunei

    -

    Markas Wilayah Laut 4 akan dibina di Samalju

    KUCHING, 2 NOV – Pembinaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu iaitu Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Samalaju, Bintulu akan dimulakan sejurus menerima surat rasmi daripada kerajaan negeri.

    Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Bintulu merupakan kawasan yang strategik serta berdekatan dengan kawasan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan.

    “Adalah penting perairan negara kita diperkasakan. Selain itu, kementerian juga memutuskan untuk membina markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan lapangan terbang Bintulu.

    “Dengan pertumbuhan kekuatan pertahanan negara di kawasan utara Sarawak, ia jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kawasan pesisir pantai, laut, sempadan negara dan udara sentiasa berada dalam keadaan kesiapsiagaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

    Mohamad berkata perkara lain yang turut dibincangkan bersama Abang Johari semasa pertemuan tersebut termasuk pembinaan Markas Briged Ke-31 Infantri Malaysia, Rejimen Sempadan (RS) serta pembinaan pos kawalan sempadan.

    “Sekarang ini Rejimen Sempadan menyewa di kawasan komersial di Kidurong, jadi kementerian tidak mahu melihat tentera menyewa di kawasan kedai-kedai, sudah ada tanah di kawasan Bintulu tetapi ada beberapa masalah. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Rekrut warga Nepal dalam tentera Rusia, 12 ditahan

    KATHMANDU, 6 DIS – Polis Nepal mengumumkan hari ini mereka telah menahan 12 orang yang dituduh menghantar lelaki muda Nepal secara haram untuk direkrut...