Market Day IBTE Pusat ketengahkan 147 kekosongan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Sebanyak 23 buah syarikat dan 147 kekosongan jawatan diiklankan semasa Market Day yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Pusat.

Pelancaran acara telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Hajah Mariah binti Haji Ab Manaf selaku tetamu kehormat.

Acara tahunan yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah di bawah IBTE Pusat itu bermatlamat untuk menyediakan platform bagi para graduan IBTE untuk bertemu majikan berpotensi dan pada masa yang sama memberi peluang kepada pencari kerja mendapatkan maklumat dan mengetahui lagi tentang peluang-peluang yang ada.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan IBTE, kekosongan yang diiklankan sepanjang acara itu adalah daripada pelbagai sektor termasuk hospitaliti, tenaga, pembinaan, kejuruteraan dan pengeluaran makanan.