Video muzik rasmi Maroon 5, Wait yang dilancarkan baru-baru ini memaparkan kisah perpisahan epik antara dua kekasih.
Dibintangi vokalis Adam Levine dan pelakon Alexandra Daddario, video muzik itu mendapat lebih dua juta tontonan dalam tempoh 15 jam dimuat naik di laman YouTube.
Ia memaparkan Levine berusaha memujuk kekasihnya untuk kembali bersama, namun ditinggalkan setiap kali dia cuba meyakinkan wanita itu.
Idea mencipta perpisahan luar biasa fantasi dengan visual menarik itu dihasilkan pengarah terkenal David Meyers yang pernah menghasilkan video muzik beberapa penyanyi yang memiliki pengaruh besar.
Hasil sentuhan Meyers bagi video muzik penyanyi Kendrick Lamar, Humble membawa pulangan beberapa anugerah berprestij.
Selain itu, Meyers turut mengarah video muzik Supplies, nyanyian Justin Timberlake.
Bulan lalu, Maroon 5 mengetengahkan kelainan apabila melancarkan video muzik Wait yang dihasilkan dengan menggunakan aplikasi sosial Snapchat.
Pembikinan video muzik itu boleh dikatakan hanya memerlukan kos rendah kerana mengumpul beberapa siri rakaman Levine bertukar wajah menerusi Snapchat sambil menyanyi Wait.
Rakaman itu dilakukan sepenuhnya di sekitar kediaman Levine dan turut menampilkan isterinya, Behati Prinsloo serta anjing peliharaan mereka.
Menurut Levine, idea menghasilkan video muzik tidak rasmi Wait menggunakan Snapchat datang kerana dia dan anggota Maroon 5 menggunakan aplikasi itu.
“Filter aplikasi itu kini menjadi sebahagian daripada budaya pengguna. Jadi, kami fikir pendekatan seperti ini seronok dan melucukan,” katanya.
Menurut pemain gitar Maroon 5, James Valentine, Levine dan isterinya gemar mengambil gambar menggunakan aplikasi itu apabila kumpulan berkenaan bertugas di luar kawasan.
Wait adalah single terbaharu kumpulan itu daripada album keenam mereka berjudul Red Pill Blues yang diperkenalkan pada November lalu.
Dalam album itu, Maroon 5 bekerjasama dengan penyanyi SZA menerusi lagu What Lovers Do.
Mulai 3 Mac ini, Maroon 5 akan memulakan konsert jelajah mereka di beberapa lokasi di Amerika Syarikat.