Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marquez catat masa terpantas dalam latihan

    PHILLIP ISLAND, 18 OKT – Marc Marquez mencatatkan masa terpantas dalam sesi latihan MotoGP Australia yang terganggu akibat cuaca hari ini, manakala pendahulu kejuaraan, Jorge Martin, bangkit daripada insiden terjatuh untuk mencatat masa keempat terpantas.

    Juara dunia enam kali itu, yang juga pemenang empat kali di Phillip Island, mencatatkan masa terpantas 1 minit 27.770 saat di litar berhadapan pantai setelah hujan lebat pada awal sesi reda. Penunggang Sepanyol itu menamatkan sesi dengan kelebihan 0.102 saat di hadapan abangnya, Alex, yang juga menunggang jentera Gresini dalam sesi yang seketika terganggu oleh seekor angsa yang memasuki litar.

    Marco Bezzecchi dari Itali, yang menunggang Ducati-VR46, mencatat masa ketiga terpantas, diikuti Martin dari Pramac, yang berjaya mendahului pencabar utama kejuaraannya, Francesco Bagnaia, yang menduduki tempat kelima.

    Dengan hanya empat hujung minggu perlumbaan yang tinggal, persaingan kejuaraan semakin sengit dengan Martin hanya 10 mata di hadapan juara bertahan dari Ducati, Bagnaia. Pelumba Ducati, Enea Bastianini, ketinggalan 69 mata, dua mata di hadapan Marc Marquez, dan kedua-duanya memerlukan podium untuk terus berada dalam persaingan hujung minggu ini.

    Namun begitu, Bastianini hanya berjaya menamatkan sesi di tempat ke-16.

    Marc Marquez semasa berehat di garaj selepas sesi latihan pertama MotoGP Australia di Phillip Island dibatalkan akibat hujan, kelmarin. – AFP

    Para penunggang akhirnya memulakan latihan selepas sesi latihan pagi dibatalkan kerana hujan lebat yang berterusan. Situasi ini memberi kesukaran kepada pasukan yang berhasrat untuk mengumpul data mengenai tayar terbaik yang sesuai untuk litar yang baru diselenggara itu.

    Walaupun hujan berhenti tepat pada waktunya untuk sesi petang, malang menimpa Martin apabila dia terjatuh pada pusingan kedua selepas berlanggar dengan Fabio Quartararo.

    Bagnaia juga menghadapi masalah dan terpaksa kembali ke pit lebih awal. Ketika kedua-dua pelumba itu kembali ke litar, bendera merah dinaikkan apabila seekor angsa berjalan di atas litar, menambah lagi kesukaran untuk mencatat masa kompetitif.

    Marquez pada mulanya mencatat masa terpantas sebelum dipintas oleh Maverick Vinales 10 minit sebelum sesi berakhir.

    Namun, Marquez kembali mendominasi untuk merampas kedudukan teratas sementara Martin dan Bagnaia terus memberi saingan sengit. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda